Perkataan wacana menurut Kamus Dewan Edisi (1993:1484) bermaksud ucapan, pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan Linguistik memberi maksud wacana sebagai satu unit bahasa yang besar dalam satu tingkat tatabahasa, iaitu lebih besar daripada kata. Semua perkara yang melibatkan penggunaan bahasa disebut sebagai wacana.
Selain itu, menurut Johnstone B. (2002:2-4), wacana dilihat sebagai contoh yang sebenar dan berkaitan dengan komunikasi melalui bahasa. Wacana juga dalam bentuk jamak merujuk kepada pola kepercayaan dan tindakan lazim di samping pola bahasa. Wacana demikian merujuk kepada idea dan cara bertutur sehingga dapat mempengaruhi dan dipengaruhi.
Seperti kita sedia maklum wacana adalah satuan bahasa yang terlengkap, tertinggidan terbesar dengan kesinambungan dan mempunyai awalan dan akhiran yang nyata, iaitu sama ada disampaikan secara lisan atau tulisan. Perkataan wacana boleh dikatakan sebagai barisan perkataan atau ucapan yang utuh untuk wacana lisan, dan karangan atau susunan ayat yang utuh untuk wacana tulisan dalam pengajaran bahasa Melayu.
Wacana dikatakan sebagai sebuah unit terbesar kerana wacana terbahagi kepada dua bentuk iaitu dalam bentuk tulisan dan lisan yang bersifat interaksional dan transaksional. Jika kita teliti dengan mendalam, dalam peristiwa komunikasi secara lisan, ahli bahasa dapat menjelaskan bahawa wacana sebagai proses komunikasi antara penutur dan pendengar. Sedangkan dalam komunikasi secara tulisan, wacana terlihat sebagai hasil dari pengungkapan idea penulis itu sendiri dan komunikasi berlaku apabila pembaca mampu menerima wacana yang terdapat dalam baris tulisan.