Menurut Asmah Hj
Omar (1986), wacana ialah keseluruhan pelahiran bahasa oleh penutur atau
penulis, iaitu pelahiran sistem bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem
bahasa yang menyumbang ke arah menjadikan sesuatu pertuturan atau tulisan
berkenaan sebagai sesuatu yang bermakna dalam komunikasi. Harimurti
Kridalaksana (1992) pula mentakrifkan wacana sebagai kesatuan bahasa yang
lengkap dan dalam hierarki tatabahasa, wacana merupakan kesatuan tatabahasa
tertinggi atau terbesar. Wacana direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh
seperti novel, buku, siri ensiklopedia, perenggan, kalimat atau kata yang
membawa amanat yang lengkap.Wacana merupakan unit bahasa yang mempunyai
kesatuan fikiran yang utuh dan melebihi batas ayat. Dalam hierarki bahasa,
wacana terletak pada tingkat bahasa yang tertinggi, iaitu selepas tingkat ayat.

Wacana dikatakan melebihi batas ayat
kerana dalam kajian wacana, aspek yang diteliti tidak terbatas pada tahap ayat
sahaja, tetapi turut merangkumi aspek-aspek yang lebih luas daripada ayat.
Selain itu, wacana juga dikatakan melebihi batas ayat kerana wacana mungkin
terdiri daripada dua ayat, sejumlah ayat, satu perenggan, sebuah karangan, satu
bab, sebuah buku, ataupun satu siri buku. Seperti Kamus Dewan,Kamus Linguistik
juga memberikan definisi yang hampir sama berkaitan dengan wacana. Menurut
Kamus Linguistik, wacana merupakan unit bahasa yang lengkap dan tertinggi yang
terdiri daripada deretan kata atau kalimat, sama ada dalam bentuk lisan atau
tulisan yang dijadikan bahan analisis linguistik.
Menurut Kamus Dewan pula, wacana merupakan keseluruhan tutur yang
merupakan satu kesatuan, ucapan, pertuturan dan juga percakapan. Definisi lain
bagi wacana yang dikemnukan dalam Kamus Dewan ialah kesatuan fikiran yang utuh
sama ada dalam bentuk lisan seperti pidato, khutbah atau tulisan seperti
artikel, rencana,surat, novel dan cerpen. Kesimpulannya, wacana ialah unit
bahasa yang melebihi had ayat yang terdiri daripada ayat, sejumlah ayat,
ceraian, bab, buku, cerita, dialog, siri buku dan sebagainya yang menunjukkan
hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan. Ringkasnya, wacana
ialah satu unit bahasa yang mempunyai kesatuan fikiran yang utuh dan melebihi
batas ayat.
JENIS-JENIS WACANA
Wacana dapat
dibahagikan kepada dua jenis, iaitu wacana lisan dan wacana tulisan.
Wacana lisan merupakan wacana yang dihasilkan melalui media lisan,
iaitu melibatkan penutur dan pendengar. Komunikasi yang terlibat dalam wacana
ini ialah komunikasi interaktif, iaitu komunikasi yang melibatkan hubungan
antara penutur dan pendengar secara langsung. Dalam wacana lisan, penutur
biasanya akan menggunakan ekspresi wajah, intonasi suara, gerak badan, dan
sebagainya untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada pendengar. Biasanya,
dalam wacana lisan, penutur akan mendapat respon daripada pendengar pada ketika
itu juga. Antara contoh wacana lisan adalah melalui perbualan, temu ramah,
ceramah, khutbah, pidato, dan siaran televisyen atau radio.
Wacana tulisan pula merupakan wacana yang disampaikan secara
bertulis. Wacana ini melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca.
Komunikasi yang terlibat ialah komunikasi tidak langsung, iaitu komunikasi satu
arah. Penulis tidak berhadapan dengan pembaca semasa wacana tersebut
dihasilkan. Jadi, penulis tidak mendapat respon secara langsung daripada
pembaca. Wacana tulisan juga selalu disunting terlebih dahulu, bagi
menghasilkan tulisan yang berkualiti dan tepat. Dalam wacana tulisan, pembaca
harus membaca teks yang ditulis untuk memahami maksud yang ingin disampaikan
oleh seseorang pengarang atau penulis, Antara contoh wacana tulisan ialah
tulisan-tulisan yang terdapat di dalam akhbar, majalah, dan buku.
No comments:
Post a Comment